Ahad, 9 April 2017

MTQ; PERINDAHKAN BACAAN KITA

Hakim MTQ Petronas 2017
Bangunan Martabat
Alhamdulillah, semalam telah selesai tugas di MTQ Peringkat Bahagian Bintulu. Tugas kali ini adalah sebagai pengira markah peserta dan telahpun dikira dengan baik dan benar. MTQ maksudnya "Majlis Tadarus Al-Quran". Program terbesar yang dilaksankan dibawah Kelolaan Sektor Pendidikan Islam (Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri), Unit Pendidikan Islam (Peringkat PPD) dan turun kepada Panitia Pendidikan Islam (Peringkat Sekolah) ini adalah program yang dilaksanakan saban tahun. 


Cantik Kad Nama
Tujuan program ini setidaknya memberi peluang kepada murid-murid Islam untuk mengetengahkan kebolehan dalam berbagai bidang yang dipertandingkan. Guru-guru Pendidikan Islam pula dapat mencungkil bakat murid-murid dan pelajar bagi mengasah kebolehan yang mereka miliki. Bahagian-bahagian yang dipertandingkan adalah, Tilawah Al-Quran, Hafazan Surah-Surah Lazim, Syarahan, Bercerita dan Pertandingan Nasyid atau lagu-lagu dakwah.

Bersama Hakim Lain
Qori Kebangsaan Malaysia
Ust. Awg Omar
Pada hari ini pula, diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjadi Hakim Tajwid bagi Majlis Tilawah Al-Quran Petronas 2017. Tajwid dalam bacaan quran sangat penting untuk memastikan bacaan dan sebutan itu sesuai dan menepati kehendak bahasa al-Quran itu sendiri. Oleh kerana itu kita harus waspada terhadap kesalahan-kesalahan ketika membaca al-quran. Walaupun tuntutan untuk mempelajari ilmu tajwid itu tidak wajib hukumnya menurut sesetangah kalangan, namun sebagai ummat Islam yang kitab pegangannya al-Quran seharusnya mempunyai keinginan kuat untuk mempelajari ilmu tajwid. Namun harus kita ingat juga, kalau tidak membacanya dengan tajwid, maka boleh mendatangkan dosa keatas kita. Imam Ibnu Jazari mengatakan : 

"Membaca al-Quran dengan tajwid hukumnya adalah wajib, barangsiapa yang tidak membacanya dengan tajwid maka hukumnya adalah berdosa, kerana dengan tajwidlah Allah menurunkan al-Quran, dan dengan demikian pula al-Quran sampai kepada kita dari-Nya.."

Kita melihat kepada tujuan ilmu tajwid itu sendiri adalah 
"Sebagai penghias bacaan, iaitu dengan memberikan hak-hak, urutan dan tingkatan yang benar kepada setiap huruf, dan mengembalikan setiap huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, dan menyesuaikan huruf-huruf tersebut pada setiap keadaanya, dan membenarkan lafaznya dan memperindahkan pelafalnya pada setiap konteks, menyempurnakan bentuknya, tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan.
(An-Nasyr Fil Qira'at Al-'Asyr 1/212)

Maka dari yang demikian, indahkanlah bacaan al-Quran kita dengan bacaan yang bertajwid. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran itu sendiri :


"Warattilil quraana tartiila"
Maksudnya; "Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan/tartil/bertajwid". (al-Furqan : 13)

Semoga generasi kita seterusnya, tetap mencintai al-Quran dan tetap menjadikan pendidikan al-Quran sebagai pendidikan utama disamping mempelajari ilmu-ilmu keduniaan yang lain. Ketahuilah al-Quran yang kita baca akan datang kepada kita kelak dan akan memberikan syafaat kepada pembacanya. Cintailah al-Quran. Bacalah al-Quran. Beramallah dengan al-Quran.