Ahad, 9 April 2017

MTQ; PERINDAHKAN BACAAN KITA

Hakim MTQ Petronas 2017
Bangunan Martabat
Alhamdulillah, semalam telah selesai tugas di MTQ Peringkat Bahagian Bintulu. Tugas kali ini adalah sebagai pengira markah peserta dan telahpun dikira dengan baik dan benar. MTQ maksudnya "Majlis Tadarus Al-Quran". Program terbesar yang dilaksankan dibawah Kelolaan Sektor Pendidikan Islam (Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri), Unit Pendidikan Islam (Peringkat PPD) dan turun kepada Panitia Pendidikan Islam (Peringkat Sekolah) ini adalah program yang dilaksanakan saban tahun. 


Cantik Kad Nama
Tujuan program ini setidaknya memberi peluang kepada murid-murid Islam untuk mengetengahkan kebolehan dalam berbagai bidang yang dipertandingkan. Guru-guru Pendidikan Islam pula dapat mencungkil bakat murid-murid dan pelajar bagi mengasah kebolehan yang mereka miliki. Bahagian-bahagian yang dipertandingkan adalah, Tilawah Al-Quran, Hafazan Surah-Surah Lazim, Syarahan, Bercerita dan Pertandingan Nasyid atau lagu-lagu dakwah.

Bersama Hakim Lain
Qori Kebangsaan Malaysia
Ust. Awg Omar
Pada hari ini pula, diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjadi Hakim Tajwid bagi Majlis Tilawah Al-Quran Petronas 2017. Tajwid dalam bacaan quran sangat penting untuk memastikan bacaan dan sebutan itu sesuai dan menepati kehendak bahasa al-Quran itu sendiri. Oleh kerana itu kita harus waspada terhadap kesalahan-kesalahan ketika membaca al-quran. Walaupun tuntutan untuk mempelajari ilmu tajwid itu tidak wajib hukumnya menurut sesetangah kalangan, namun sebagai ummat Islam yang kitab pegangannya al-Quran seharusnya mempunyai keinginan kuat untuk mempelajari ilmu tajwid. Namun harus kita ingat juga, kalau tidak membacanya dengan tajwid, maka boleh mendatangkan dosa keatas kita. Imam Ibnu Jazari mengatakan : 

"Membaca al-Quran dengan tajwid hukumnya adalah wajib, barangsiapa yang tidak membacanya dengan tajwid maka hukumnya adalah berdosa, kerana dengan tajwidlah Allah menurunkan al-Quran, dan dengan demikian pula al-Quran sampai kepada kita dari-Nya.."

Kita melihat kepada tujuan ilmu tajwid itu sendiri adalah 
"Sebagai penghias bacaan, iaitu dengan memberikan hak-hak, urutan dan tingkatan yang benar kepada setiap huruf, dan mengembalikan setiap huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, dan menyesuaikan huruf-huruf tersebut pada setiap keadaanya, dan membenarkan lafaznya dan memperindahkan pelafalnya pada setiap konteks, menyempurnakan bentuknya, tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan.
(An-Nasyr Fil Qira'at Al-'Asyr 1/212)

Maka dari yang demikian, indahkanlah bacaan al-Quran kita dengan bacaan yang bertajwid. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran itu sendiri :


"Warattilil quraana tartiila"
Maksudnya; "Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan/tartil/bertajwid". (al-Furqan : 13)

Semoga generasi kita seterusnya, tetap mencintai al-Quran dan tetap menjadikan pendidikan al-Quran sebagai pendidikan utama disamping mempelajari ilmu-ilmu keduniaan yang lain. Ketahuilah al-Quran yang kita baca akan datang kepada kita kelak dan akan memberikan syafaat kepada pembacanya. Cintailah al-Quran. Bacalah al-Quran. Beramallah dengan al-Quran.

Khamis, 23 Mac 2017

NIAH YANG INDAH

Ini bukanlah jalan-jalan musim cuti sekolah Pertengahan penggal satu 2017 ni. Bukan juga jalan-jalan cari makan macam program TV tu. Ini jalan-jalan hujung minggu pegi Pasar Niah. Orang kata namanya Pasar Batu, tapi orang Vae ( Melanau Bintulu ) sebut "Paser Vatew" atau "Paser Leza". Daerah Niah ini pun kalau menurut panggilan Orang Vae memang Leza. Kalau orang yang tinggal di Niah, Orang Vae sebut Vae Leza. Kehadiranku di Pasar Niah ( Pasar Batu ) ini sebenarnya kehadiran buat kedua kalinya bagi diriku. Kerana tertarik pada keindahan alamnya pada kehadiran pertama dulu sehingga melonjak keinginan ingin datang lagi buat keuda kalinya bersama anak isteri.

Keindahan Pasar Niah
Niah memang indah. Siapa yang tidak kenal Daerah Niah, dengan Gua Niah nya yang merupakan Gua Batu Kapur Terbesar di Malaysia bahkan antara Gua Batu Kapur terbesar di dunia. Belum lagi nilai sejarah dan arkeologi yang terpahat padanya, sehingga menarik rasa ingin tahu para pengkaji. Khazanah sisa-sia kehidupan puluhan ribu tahun silam, seperti penemuan tengkorak manusia yang berusia 40,000 tahun dalam misi cari gali yang diketuai oleh Tom Harrisson dan isterinya Barbara Harrison pada tahun 1958  menjadi bukti pernah ada kehidupan di Gua Niah. Terkejut kita kan, penemuan tengkorak tersebut menandakan kehadiran manusia awal di Asia Tenggara. Belum lagi Dr Christopher M. Stimpson yang menemui rangka burung Green Magpie dan Bulmer Pheasant yang habitatnya dikawasan pergunungan tetapi pernah ada di Gua Niah sehingga mengundang rasa pelik beliau. Macam mana rupa burung tu...?, saya pun tak pernah tengok. Bolehlah google sikit.

Jalan Menuju Pasar Niah
Pasar Niah dari kejauhan memang sangat indah. Dinding batu kapur yang berdiri tegak dan gagah seakan-akan menjadi latarbelakang kepada pekan kecil Niah. Sungguh indah..., bak lukisan yang terlukis indah. Sudah tentu yang melukisnya sungguh Maha Hebat iaitu Allah SWT. Rugi kalau tidak mengabadikan barang sekeping dua potret untuk mengikat kenangan bahawa anda pernah kesana. Ada juga cerita untuk kawan dan keluarga kan.



Sebenarnya kalau nak melancong ke tempat-tempat indah tak perlu jauh-jauh. Tetapi.., kadang kita terlepas pandang kawasan disekeliling kita pun banyak yang indah dan belum kita datangi. Apalagi di bumi Sarawak ini, subhanallah banyak kawasan yang cantik dan penuh nilai sejarah yang kita belum terokai. Cerita tentang Niah ni, belum cerita masuk ke gua nya lagi. Sepuluh tahun yang lalu aku pernah kesana bersama rombongan Madrasah. Kalau nak tahu keindahannya bolehlah pergi kesana.

Berasama Putri Kecilku
Perjalananku ke Niah hanya untuk jalan-jalan bawa anak dan isteri sebab sudah lama tidak bawa mereka jalan-jalan. Disana kami cari parking dan aku ajak mereka jalan kaki mengelilingi pekan kecil Niah. Melihat tebingan sungai Niah yang masih diselimuti hutan tebal, terjaga dan belum diterokai sebab Hutan Niah adalah hutan simpan. Dibanding tempat lain yang dipenuhi hutan sawit. Alangkah baiknya seandainya banyak hutan simpan kan..? Lingkungan akan terjaga. Kerosakan ekosistem dan habitat hidupan hutan tidak terganggu.

Dua Bentuk Cincin Cantik

Di Pasar Niah ketika jalan-jalan terlihat seorang abang penjual cincin atau "batu akik". Sebenarnya aku memang sudah lama mencari cincin sebagai penganti cincin yang ku hadiahkan kepada rakanku dulu. Hahah... lama juga aku pilih dan tawar menawar dengan abang tu. Setelah bernego panjang akhirnya dapatlah kurang dari RM150 kepada RM60 untuk satu bentuk cincin. Aku beli dua, jadi RM120, harga perkenalan dan ukhuwah katanya.



Tengah memilih cincin...
Lepas itu kami jalan-jalan lagi. sambil melihat keindahan pekan kecil Niah. Biasanya kalau hari sabtu dan minggu pasar ini memang sesak dan kebanyakkannya adalah warga Indonesia yang bekerja di sekitar Niah. Para penual bermacam-macam jenis hasil hutan dan tanaman pun banyak. Tetapi hari ini agak lengang sebab  bukan hari minggu.

Gambar Anak-Anakku

Batu apa ini ya..?

Kerusi Malas...
Panjang ceritanya kan. Sebenarnya antara tujuan aku kesini nak beli "kerusi malas" seperti dalam gambar ni . Dulu waktu aku pertama kali kesini nak beli benda ni, tetapi sebab tak cukup duit waktu tu, aku urungkan. Alhamdulillah dah beli. Buat baring-baring santai di rumah. Tak taulah di Bintulu ada ke tidak benda ni. Harga asalnya RM150, tawar punya tawar dapatlah RM80. Tauke dia orang Pakistan. Syukria tauke hehe... semoga murah rezeki. Insyaallah bagi yang nak jalan-jalan, pergilah ke Niah, bawalah camera buat ambil gambar kenangan ketika disana. Jumpa lagi pada posting cerita yang lain. Wassalam.















Ahad, 19 Mac 2017

LAGU NASYID ; KENANGAN 2 TAHUN LALU

Tak terasa dua tahun sudah berlalu. Sekarang ni kan musim-musim MTQ untuk Peringkat Bahagian Bintulu yang akan dilaksanakan pada 08 April 2017 nanti. Tahun ini katanya pertandingan nasyid akan diwujudkan semula setelah tahun lepas ditiadakan. Untuk tahun ni sekolah kami tak sangkutpun satu acara. Kesian anak-anak. Insyaallah kami pasti akan bangkit tahun depan. Kami akan usahakan yang terbaik. Doakan ya. Harapan sekarang ni hanya pada nasyid saja untuk peringkat bahagian nanti. Semoga ada ruang insyaallah.

Inilah pangkal cerita ini sebenarnya. Mengenang saat manis MTQ Peringkat Bahagian 2015 yang lalu. Alhamdulillah untuk pengalaman peribadi, pada tahun tersebut kumpulan Nasyid sekolahku dapat tempat pertama untuk kategori nasyid sekolah rendah. Manisnya sebab nasyid tersebut akulah penciptanya...hehe..., kategori nasyid kontemporer dan irama padang pasir. Nak sebut pengalaman, jauh sekali. Aku mana ada pengalaman buat nasyid. Ilmu muzik pun tak ada. Nyanyi pun tak pernah. Dalam jamban mana boleh nyanyi kan. 

Pada tahun tersebut aku dan jurulatih utama Ustaz Muhmamad Hami target nombor tiga pun jadilah. Tapi bila diumumkan johan kategori nasyid sekolah rendah peringkat bahagian adalah SK Bintulu, rasa macam mimpi pulak. Tahniah buat Jurulatih Utama Ust. Hami dan rakan-rakan yang beri sumbangan idea dalam persembahan.

Ini gambar kenangan pada tahun tersebut. Depan sekali tu, terima sijil, aku punya anak sulung.


Gambar Kenangnan Bersama AJK Peringkat Sekolah Dan VIP
Tahun ni juga kami tuan rumah MTQ Peringkat Bahagian & Daerah Bintulu.

Setelah itu, kami pun maju ke peringkat Negeri di Sarikei pada tahun tersebut. Walaupun tak dapat kedudukan yang diimpikan oleh semua peserta tapi syukur jua, alhamdulillah..., dengan catatan, kami akan perbaiki semua kekurangan. Kumpulan nasyid dari bahagian-bagian lain pun hebat-hebat belaka. Kadang rasa kecil saja. Tapi Allah Maha Besar...hehe. Beberapa keping gambar kenangan di peringkat Negeri.


Aku Bersama Anak-Anak...


Jurulatih Utama Ust. Hami Dan Anak-Anak


Tahun ini kami nak cuba nasib lagi. Nombor satu tak nombor satu kami tak kisahlah. Janji cuba yang terbaik. Aku akan cuba lagi buat nasyid baru tahun ni. Macam mana iramanya, itu rahsia. Selamat bersaing sihat juga kepada rakan-rakan lain. Jumpa nanti insyaallah. 

Khamis, 16 Mac 2017

KAMPUNGKU ; AKU RINDU

Kampung...hehe..., jika kita bercerita tentangnya, maka akan terbayang dalam benak kita, tempat yang sunyi, hutan, aman damai dan ketenangan. Tetapi sesuatu yang tidak boleh kita lepaskan adalah seribu kenangan yang terukir indah dan tersimpan kemas dalam memori kita. Kadang kita tersenyum sendiri bila teringatkan gelagat bersama kawan-kawan sewaktu mandi sungai, bermain panjat-panjat pokok, pondok-pondok, macam-macam lagi lah. Mungkin ada juga kisah sedih bagaimana peritnya hidup dalam kekurangan. Itulah coretan-coretan kenangan di kampung. Banyak lagi kan.


Kampungku memang indah..., ada bukit, ada sungai yang membentang dengan air yang mengalir lembut. Tebingnya seaakan-akan terukir dengan corak-corak rapi, seolah-olah bercerita setiap aktiviti penduduk kampungku, ketika berkayuh, memukat, memancing ikan atau mandi dan mengangkut airnya untuk keperluan mencuci dan minum. Indah kampungku.., tetapi anak-anakku tidak merasakan indahnya saat-saat kecilku dulu hehe..., sayang kan. Dulu aku ketika umur 6 tahun sudah dapat berenang, pandai berkayuh. Anak-anakku umur 12 tahun... hehe... berenangpun belum pandai, jauh sekali mengayuh perahu. 

Akan tetapi sekarang ni, kampungku tidaklah seperti 20 tahun lalu. Keadaan seperti ketika aku masih kecil dulu. Sekarang dah ada bekalan air bersih, ada tenaga elektrik dan jalan raya pun ada sebagai jalan akses ke kampungpun ada, walaupun cuma jalan ladang..., tapi ok lah.

Jangan sampai kita tak balik kampung. Bak kata orang, tinggi manupun kita terbang turunlah, hinggaplah ke dahan kayu ke tanah, melepas penat dan lelah, menyambung silaturrahim dengan saudara mara yang lama tak dijumpai. Tempat asal kita, tempat kita mula mengenal erti hidup dan melihat matahari. Suasananya masih tetap mengasyikkan.

Rabu, 15 Mac 2017

PROGRAM SOLAT HAJAT 2016 SEKOLAHKU


Setiap orang pasti ingin anaknya berjaya kan..?. Tidak ada seorangpun ibu bapa yang mengharapkan kegagalan anaknya. Betapa tinggi motivasi tersebut, sehingga kebanyakkan ibu dan ayah sanggup menghabiskan waktu dan wang ringgit dengan memberikan tuisyen, menghantar dan menunggu anak-anak dengan sebuah harapan ingin melihat kejayaan anaknya. 

Tidak hanya berhenti disitu, disekolah para gurupun bertungkus lumus mengadakan kelas tambahan, study gruop bahkan program-program motivasi untuk meningkatkan kualiti dan semangat juang anak-anak dalam belajar bahkan untuk menghadapi peperiksaan awam.


Bersempena dengan peperiksaan UPSR 2016 tahun lalu, sekolahku pun tidak ketinggalan mengadakan program solat hajat bagi mendoakan kejayaan anak-anak murid kami yang akan menempuh peperiksaan pada tahun tersebut. Kami semua dan ibu ayah, mendoakan kejayaan anak-anak semua. Namun kami tanamkan pemahaman kepada anak-anak murid kami, doa sajaha tidak cukup, mesti diikuti juga dengan usaha, demikian pula sebaliknya, usaha saja tidak cukup tapi harus disusuli dengan doa barulah kita bertawakkal kepada Allah SWT. Allah lah tempat sebaik-baiknya untuk kita memohon pertolongan, semuanya datang dari Allah dan Allah yang membuka segalanya sehingga menjadi mudah.

Kami seagai guru sudah pasti mendoakan yang terbaik buat anak-anak murid kami, sebab mereka sebagai aset agama dan negara. Itulah diantara tugas kami. Selamat Berjaya Anak-Anak.



Isnin, 3 Disember 2012

HOBI ATAU NAFSU

Hidup memang tidak pernah puas. Inilah sifat manusia tidak akan pernah puas dengan apa yang dimiliki atau dengan pencapaian apa pun yang telah diperolehi. Namun sikap demikian kadang bukan tidak baik, tetapi tergantung bagaimana kita salurkan. Jika dalam soal memperbaiki hubungan kita dengan Allah silakan kita menjadi orang yang tamak asalkan istiqomah dengan apa yang telah dimulai. Sebatas untuk kita sama-sama renungkan terutama untuk diri sendiri yang selalu berbuat khilaf dan salah.

Manusia suka bermasyarakat...
Teman-teman pembaca yang dikasihi, manusia diciptakan oleh Allah sebagai mahkluk yang suka bersosial atau bermasyarakat, ini sebagaimana ketentuan yang terkandung dalam Firman-Nya yang bermaksud:

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain)… “ (al-Hujrat:13)

Lantaran sifat itu, manusia cenderung untuk membentuk komunitinya sendiri sebagai wadah untuk bersosial atau bermasyarakat dengan manusia lain. Wujudnya komuniti-komuniti tersebut kadang-kadang atas berbagai alasan dan kepentingan-kepentingan tertentu. Salah satu cara manusia membentuk hubungan dengan individu ke individu lain adalah melalui hobi atau kesukaan yang sama, atau menarik individu lain untuk sama-sama menekuni hobi bagi komunitinya.

Tidak ada yang salah pada pembentukan komuniti dari hobi atau kesukaan kita. Saya yakin mungkin tidak semua orang setuju bila saya katakan kadang-kadang hobi kita berdampak kepada pembaziran dan mengarah kepada pengaturan kewangan yang tidak baik jika terlalu ekstrem dengan hobi kita. Apalagi kepada teman-teman atau diri sendiri yang tidak dapat mengawal kehendak dan keperluan dengan keadaan kewangan sendiri. Keadaan ini bahkan akan menyebabkan terabainya tanggungjawab kepada anak-anak dan isteri. Contohnya adalah hobi photografi (kecuali yang bercita-cita untuk menjadikannya sumber kewangan). Hobi ini memerlukan bajet yang begitu besar kerana kamera DSLR itu rata-rata harganya bermula dari RM1500 keatas. Tidak jarang yang sudah terjebak dengan hobi ini akan upgrade lens bahkan aksesori-aksesori lain untuk memantapkan kualiti gambar atau dengan tujuan mendapatkan kepuasan-kepuasan dalam dunia tersebut. Atau dalam hobi berbasikal misalnya, memerlukan bajet yang besar juga untuk mendapatkan sebuah basikal seperti yang diidam-idamkan. Ahhh…inilah dunia…penuh tarikan-tarikan untuk menarik kita kemana saja.

Bahaya menuruti keinginan berlebihan...
Disinilah point yang ingin dikongsikan pada teman-teman pembaca. Hobi intinya adalah baik dan mengarahkan kita kepada sesuatu yang baik jika kita pandai menempatkan diri, sebagai saluran untuk kita berkomunikasi dan menjalin hubungan sosial dengan orang lain. Namun tidak jarang hobi sebagai gelanggang pemuasan untuk menunaikan keinginan-keinginan nafsu untuk memiliki dan mendapatkan sesuatu yang belum diperolehi. Serangan nafsu ini tidak hanya menyerang golongan muda belia bahkan siapapun dan pada tahap manapun usia kita. Nabi telah jelaskan perkara ini, seperti yang terkandung dalam sabda baginda:
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Akan menjadi tua Anak Adam (yakni, kita manusia), dan tinggal padanya dua macam: (pertama) sifat rakus dan tamak dan(kedua) angan-angan (yakni, harapan, keinginan dan kehendak nafsunya, yakni, semua yang ada pada manusia akan rosak kecuali sifat tamak dan rakusnya dan angan-angannya).’ 

Teman-teman pembaca yang budiman, sungguh jelas apa yang dimaksudkan dalam hadist tersebut kan…?. Apakah kemungkinan itu adalah kita dengan nafsu kita yang disaluti dengan baju hobi kita…?. Mari kita selaraskan semula diri, kita refresh hati kita dengan nafas-nafas dzikir, kita introspeksi diri kita sedalam-dalamnya bahawa kita hidup bukan untuk memenuhi segala kehendak kita, tetapi kita hidup atas kehendak Yang Menghidupkan kita. Sekali lagi kita hamparkan kebijaksanaan Rasul kita dari hadist baginda yang mulia:

“Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya”. (Hadith Riwayat Al-Baihaqi)

Nah marilah kita sama-sama merenung kembali hobi kita. Jangan sampai ianya menyebabkan orang yang berada pada tanggungan kita merena, kerana keinginan nafsu kita yang tidak dapat dibendung. Akhirnya saya berharap tulisan singkat ini bermanfaat kepada yang menulis dan yang membaca. Mohon maaf jika untaian fikiran dan bahasa yang tidak berkenan dihati. Jika tidak sependapat mohon abaikan.


Pemilik blog: http://abuhakamhaq.blogspot.com 

Jumaat, 30 November 2012

Catatan Penghujung 2012

Assalamualaikum Wr. Wb.

Sudah beberapa bulan blog ini tidak dikunjungi sampai pemilik (saya sendiri) lupa email dan password. Nak log masuk pun tak dapat, apalagi nak buat entri di blog. Maaf lah bagi siapa-siapa yang mengunjunginya. BAgi mengubati rasa hampa, saya ingin mulakan post di penghujung 2012 ini  dengan berita gembira terkait masalah Palestine. 

TAOTAUAJER - Berapa ramai kah yang telah syahid dalam perperangan dengan Israel? kini akhirnya Palestine di iktiraf sebagai sebuah Negara...Alhamdulillah!

JERUSALEM: Beribu-ribu orang meraikan kejayaan apabila Palestin memperoleh pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara selepas penantian selama 65 tahun. 



Generasi muda Palestin pastinya akan mengingati tarikh penting berkenaan iaitu 29 November 2012. 

Kejayaan itu menjadi kenyataan biarpun sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat meningkatkan kempen agresif untuk menggagalkan undian Perhimpunan Agung.

Sebelum ini, Palestin menolak cadangan supaya sebuah negara Yahudi dan Arab ditubuhkan selepas penjajahan British ke atas Palestin berakhir. - AP

Negara-negara yang mengundi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penerimaan Palestin sebagai negara pemerhati dalam PBB.


Hijau Pekat(tengah peta) - Wilayah Palestin
Hijau Cair - Menyokong
Merun - Membantah
Kuning - Berkecuali
Biru - Tidak hadir
Kelabu - Bukan ahli


Keputusan undian semasa persidangan PBB:

1. Antara negara mengundi 'ya' untuk mengiktiraf Negara Palestin, termasuk Arab Saudi, Turki, Syria, Malaysia, Brunei, Mesir, Ireland, India, Indonesia, Thailand, dan 138 negara lain.

2. 41 buah negara yang menolak untuk mengundi (berkecuali); termasuk UK dan Singapura.

3. Manakala negara- negara yang menentang (tidak mengiktiraf) ialah Kanada dan Amerika Syarikat.

Keputusan ini merupakan berita gembira bagi umat Islam dan rakyat Palestin seluruhnya, setelah berpuluh tahun merana dek pencerobohan Israel terhadap tanah Palestin akhirnya ia diiktiraf sebagai sebuah negara.



TAOTAUAJER : Begitu ramai yang syahid akhirnya mereka mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara. Semoga Palestin tidak lagi di bermandi darah, semoga mereka yang syahid bergembira di sana.

Sumber: http://taotauajer.blogspot.com/2012/11/alhamdulillah-akhirnya-palestine-di.html#